Pengarahnya, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, kepelbagaian kaum dan perpaduan di Sabah yang menjadi simbol 1Malaysia adalah contoh yang boleh dimasukkan ke dalam video berkenaan untuk dipertandingkan dan menjadi tatapan seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, pelajar dari sekolah-sekolah di pedalaman juga perlu terlibat sama kerana penyertaan turut boleh dilakukan melalui dalam talian secara percuma.

“Saya harap pertandingan ini dapat kerjasama daripada semua sekolah biar banyak filem pendek yang dihasilkan.

“Para pelajar perlu menggambarkan suasana di negeri Sabah yang lain daripada yang lain, bagaimana perpaduan di Sabah dapat kita kekalkan selama ini,” katanya ketika Pelancaran Program Jerayawara #muhibah - Pertandingan Video Pendek Utusan Malaysia/Utusan Online peringkat negeri di Wisma Pendidikan hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim; Penolong Pengarah Media Baharu Utusan Malaysia, Borhan Abu Samah; Ketua Sektor Pengurusan Maklumat dan Teknologi Maklumat Komunikasi (ICT), Rosli Bilmahruf dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Pendidikan Sabah serta pejabat pendidikan daerah (PPD) seluruh negeri.

Pertandingan video pendek tersebut yang bermula 1 Januari hingga 31 Disember depan terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah untuk menghasilkan karya bertemakan muhibah berdurasi dua minit berserta penerangan ringkas antara 100 ke 150 patah perkataan.

Sepanjang tempoh penganjuran, empat video terbaik yang telah dimasukkan ke dalam laman web www.muhibah.my akan dipilih sebagai pemenang bulanan yang menawarkan hadiah RM1,000 setiap pemenang.

Bagi sekolah yang hendak menyertai pertandingan, boleh berhubung dengan pejabat pendidikan daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut atau layari www.utusan.com.my. - UTUSAN ONLINE