MD. AZHAN SAMAT

Pengarah JAIM, Md. Azhan Samat berkata, tindakan boleh dikenakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka sekiranya pihak penganjur dan mereka yang terlibat secara langsung didapati bersalah dalam melakukan aktiviti bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Jika didapati bersalah, mereka (pihak terlibat) boleh dipenjara selama tiga tahun, denda maksimum RM5,000 dan atau dikenakan enam kali sebatan.

Bagaimanapun, kita perlu tunggu dahulu laporan lengkap kerana JAIM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Mufti Negeri Melaka sedang meneliti perkara ini.

“Mereka (pihak penganjur) ada mohon kelulusan daripada MAIM sebelum ini dan ketika itu mencapai persetujuan supaya perkara atau unsur-unsur khurafat tidak dibenarkan, namun setakat pemerhatian masih berlaku kegiatan yang meragukan dalam majlis tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, laporan khas Utusan Malaysia mendedahkan kegiatan yang meragukan di Pulau Besar yang dilihat masih lagi berterusan meskipun sebelum ini kerajaan negeri telah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menghentikan perbuatan seumpama itu di kawasan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia kelmarin mendapati terdapat beberapa perbuatan yang tidak menjadi amalan dalam kalangan masyarakat negara ini terutama bagi mereka yang beragama Islam telah berlaku.

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti sama ada bahasa Urdu ataupun Tamil yang telah digunakan dalam bacaan doa mahupun selawat kerana telah dicampur aduk dengan bahasa Arab.