Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rang undang-undang tersebut akan dibentangkan setelah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja dan kelulusan daripada Jemaah Menteri.

Beliau berkata, ke­rajaan sememang­nya ingin melakukan pindaan akta itu dengan kadar segera, namun perlu mengambil kira hak dan kuasa kerajaan negeri dalam mengurniakan darjah kebesaran dan pi­ngat.

“Maklum balas sedang diperoleh daripada kerajaan negeri tentang darjah-darjah kebesaran dan gelaran yang diguna pakai oleh mereka.

“Selepas maklum balas ini di­terima, kita akan bentang rang undang-undang tersebut di Parlimen tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Utusan Malaysia dalam laporan khas baru-baru ini mendedahkan, terdapat se­gelintir individu yang sanggup membayar RM40,000 hingga RM100,000 bagi memiliki darjah kebesaran dan pi­ngat palsu dari negara jiran.

Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju terhadap ca­dangan untuk meminda akta tersebut.

Antara pindaan yang dicadang­kan dalam draf rang undang-undang berkenaan adalah mengenakan hukuman sekurang-kurangnya lima tahun penjara ke atas sesiapa sahaja yang menerima darjah kebesaran daripada individu mendakwa sebagai ketua negara yang tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.

Selain itu, Azalina menambah, antara tindakan yang dicadangkan dijadikan perbuatan jenayah di bawah rang undang-undang itu adalah memberi anugerah yang tidak diiktiraf, meminta atau menerima suapan untuk anugerah, mempromosi serta menghadiri maj­lis anugerah berkenaan.

“Kerajaan akan meneliti akta ini dari segala aspek sebelum memuktamadkannya supaya masalah ini dapat diatasi secara komprehensif dan menyeluruh.

“Kerajaan akan bertindak tegas untuk memastikan penerima anugerah yang tidak diiktiraf ini tidak memakai darjah kebesaran dan gelaran yang diterima di dalam negara,” katanya.