Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebagai sebuah negara yang menghormati prinsip antarabangsa, Malaysia menghormati Resolusi 181 PBB yang meletakkan status Baitulmuqaddis sebagai kawasan yang menjadi pertikaian antara dua pihak.

“Saya ingin tegaskan bahawa sememangnya menjadi impian serta harapan rakyat Malaysia untuk menyaksikan penubuhan Kedutaan Malaysia di Baitulmuqaddis dan ia sememangnya adalah matlamat akhir yang ingin direalisasikan oleh Malaysia.

“Tetapi keputusan Malaysia untuk membuka kedutaan di Baitulmuqaddis hanya ditentukan setelah status muktamad bandar tersebut diputuskan melalui proses penyelesaian antara Palestin dan Israel,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaffar (PKR-Tumpat) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan bercadang menubuhkan kedutaan di Baitulmuqqadis.

Menurut Reezal Merican, seandainya Malaysia mengambil tindakan sama seperti dilakukan Amerika Syarikat (AS) yang memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis, Malaysia seolah-olah bersetuju dengan tindakan dikritik oleh majoriti masyarakat antarabangsa itu.

“Ia juga akan menjejaskan usaha penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel,” katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, kebebasan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat sentiasa menjadi keutamaan Malaysia walaupun tiada kedutaan dibuka di Baitulmuqaddis.

“Kita perlu melihat situasi ini secara holistik, Malaysia sentiasa menjadi negara yang ke depan dalam memperjuangkan hak Palestin termasuk mengutuk sekeras-kerasnya keputusan unilateral AS yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel,” katanya.