Syeikh Dr. Aaidh Abdullah Al-Qarni
Syeikh Dr. Aaidh Abdullah Al-Qarni

Pendakwah terkenal Arab Saudi, Syeikh Dr. Aaidh Abdullah Al-Qarni berkata, umat Islam perlu menghayati al-Quran dalam berhadapan pelbagai cabaran dan tidak hanya menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan semata-semata demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

“Antara lima hak yang perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam ialah membacanya dengan betul dan teratur seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Segala isi kan­dungannya juga perlu diamalkan dalam kehidupan seharian kerana kitab berkenaan bukan seperti buku falsafah atau buku cerita biasa.

“Malah, al-Quran adalah penawar dan ubat yang mampu menyembuhkan se­gala jenis penyakit yang melanda umat pada hari ini.

“Justeru, ia perlu dijadikan panduan serta rujukan untuk menyelesaikan segala permasalahan dan disebarkan kepada semua orang di seluruh dunia kerana kitab berkenaan bukan hanya untuk orang Arab semata-mata,” jelasnya ketika ditemui sempena lawatan ringkas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat ini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Rektor Perhubungan Antarabangsa, Ja­ri­ngan Industri dan Komuniti UIAM, Profesor Dr. Abdel Aziz Berghout yang turut bertindak sebagai penterjemah bahasa.

Sempena lawatan itu, beliau turut menyampaikan khutbah Jumaat serta tazkirah di hadapan kira-kira 2,000 jemaah.

Tambah beliau yang me­rupakan penulis buku ter­kenal, La Tahzan, umat Islam perlu membaca al-Quran setiap hari kerana ia merupakan mukjizat agung yang tiada tandingan.

“Adakah kita boleh tidur lena setiap hari tanpa membaca walaupn sepotong daripada ayat al-Quran?” soalnya.

Justeru bagi menyahut seruan beliau, umat Islam digalakkan bersama-sama memeriahkan program World#QuranHour dan Merdeka#QuranHour yang bakal diadakan pada 31 Ogos ini.