R. N. Saraswathi

Ini dibuktikan apabila tiga warga emas berumur antara 72 hingga 86 tahun yang ditemui di beberapa pusat mengundi di sekitar ibu negara dan Selangor sejak pukul 8 pagi itu gigih ke pusat mengundi malah ada yang berkerusi roda.

Malah, kesemua mereka tidak pernah culas menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara sejak PRU pertama pada tahun 1955.

Bagi R. N. Saraswathi, 86, yang ditemani oleh anak perempuannya berkata, ini merupakan kali ke-14 dia mengundi dalam pilihan raya.

“Walaupun dalam keadaan ti­dak berapa sihat, namun ia tidak menghalang saya untuk turun mengundi. Saya sayangkan Malaysia dan lahir di sini. Ini negara kita, jangan biar ada campur ta­ngan luar.

“Kita mesti undi demi Malaysia untuk negara yang lebih baik,” katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Mega, Jalan Hujan, Taman Overseas ­Union, Jalan Klang Lama, di sini hari ini.

Yunus Adi
Yunus Adi

Sementara itu, bekas penjaga kuda di sebuah kelab ekuestrian Seri Kembangan, Yunus Adi, 72, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri di si­ni menzahirkan rasa syukur dan berharap pemimpin yang bakal dipilih dapat menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab.

Tambahnya, walaupun pilihan raya kali ini dikatakan sengit berbanding dahulu, namun ia tidak mematahkan semangat untuk me­milih wakil rakyat yang terbaik.

Dalam pada itu di Hulu Sela­ngor, seorang lagi pengundi warga emas, Mohd. Zabur Omar, 83, yang berasal dari Kampung Su­ngai Buaya memberitahu, beliau sangat teruja kerana dapat terus berbakti kepada negara apabila berpeluang mengundi buat kali ke-13.

Mohd. Zabur Omar
Mohd. Zabur Omar

Ini kerana, dia tidak pernah gagal mengundi setiap pilihan raya sejak PRU-2 pada tahun 1959 di Tanjung Karang, Selangor.

“Hari ini saya ditemani isteri, Fatimah Sarian, 72. Saya terpegun melihat kehadiran jumlah pe­ngundi yang begitu ramai pada kali ini berbanding zaman dahulu,” ujarnya yang selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya, Hulu Selangor.