Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, potensi tersebut dikenal pasti selepas Malaysia berjaya menerima 135 kuota lesen kapal serta peralatan menangkap tuna daripada Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC).

Walau bagaimanapun kata beliau, matlamat tersebut memerlukan usaha dan penambahbaikan yang lebih baik dalam usaha mempertingkatkan keupayaan menerusi aspek logistik, pelabuhan, tangkapan serta peralatan memproses tuna sebelum dapat dieksport ke luar negara.

“Kita belum sampai ke tahap yang sepenuhnya dan kita tahu industri ini memang lumayan kerana harga tuna mampu mencecah sehingga ribuan ringgit sekilogram.

“Cuma setakat ini hanya 12 kuota lesen kapal sahaja dipakai dengan hasil yang diperoleh sekadar mencecah 10,000 tan metrik setahun. Jumlah itu sepatutnya lebih tinggi kerana tuna merupakan sumber kekayaan menerusi kemampuan menghasilkan pelbagai produk lain seperti sate tuna dan masakan lain yang akhirnya akan menjadi salah satu identiti negara satu masa nanti,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas merasmikan Demonstrasi Pemotongan Ikan Tuna Segar dalam karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berharap lebih banyak pihak dapat meneroka industri ini bagi meraih sasaran eksport sebanyak 30,000 tan metrik tuna ke Jepun setiap tahun.