Program tersebut merupakan acara tahunan yang diadakan bagi mengeratkan hubungan antara Mohd. Khalil yang merupakan Canselor Utem dengan warga kerja universiti itu.

Majlis bermula pukul 6.30 petang dengan ketibaan pegawai pengurusan Utem, Ahli Lembaga Pengarah universiti dan pegawai kerajaan negeri sebelum berbuka puasa dan disusuli solat maghrib dengan penyertaan kira-kira 2,000 pelajar dan kakitangan Utem.

Pada majlis itu, Mohd. Khalil turut menyaksikan penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM30,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad yang disampaikan oleh Ketua Perniagaan Deposit dan Pengurusan Kewangannya, Zury Rahimee Zainal kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti yang mewakili Tabung Zakat Bank Islam Utem, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Noor Efendi Ahmad yang mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari dan Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Shahrin dalam ucapannya berkata, Utem mengadakan pelbagai program wajib setia kali menyambut Ramadan antaranya penyediaan bubur lambuk, majlis berbuka puasa yang dikendalikan setiap jabatan, program tazkirah dan tadarus al-Quran.

“Menerusi program sebegini, ia akan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan, memperkukuhkan akidah diri dan merapatkan hubungan silaturahim antara staf dan pelajar Utem,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE