Muhammad Shafee menjelaskan, pada ketika itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berhasrat melantik beliau sebagai pendakwa raya secara fiat kerana tidak mahu menyinggung perasaan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Malah, beliau (Najib) pa­ling enggan. Bagaimanapun, Dr. Mahathir yang mahu saya dilantik sebagai pendakwa raya khas dalam kes rayuan Anwar kerana Dr. Mahathir tidak yakin Pejabat Peguam Negara dapat mengendalikan rayuan secara cekap.

“Ini mungkin disebabkan oleh Pejabat Peguam Negara telah tewas dalam kes liwat II di Mahkamah Tinggi. Selain itu, mereka telah tewas lebih awal di Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat I,” katanya dalam ke­nyataan enam halaman, di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berbahasa Inggeris dalam laporannya menyebut Pegawai Tugas Khas Pejabat Peguam Negara (AGC) mengemukakan afidavit ke Mahkamah Rayuan yang didakwa menunjukkan bahawa Najib membayar RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee masing-masing pada 11 September 2013 dan 14 Februari 2014 sebagai balasan menjadi Pendakwa Raya dalam rayuan kes liwat II Anwar.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata, perkara tersebut menafikan ‘maklumat baru’ dari AGC yang mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib kerana terlibat dalam perbicaraan liwat II.

Beliau mendakwa, dalam bulan Jun atau Julai 2013, Dr. Mahathir melalui peguam, Matthias Chang telah memanggil beliau untuk bertemu di Yayasan Kepemimpinan Perdana.

Katanya lagi, sebelum pertemuan itu dijalankan, Najib terlebih dahulu dipanggil ke yayasan itu di Putrajaya dan telah diyakinkan oleh Dr. Mahathir untuk melantik beliau sebagai pendakwa raya khas.

“Saya mendapat tahu daripada Matthias bahawa pelantikan saya sebagai pendakwa raya khas merupakan satu daripada enam permintaan Dr. Mahathir kepada Najib dalam pertemuan mereka. Jika tidak, beliau akan bertindak menentang Najib.

“Tidak sampai lebih kurang sehari, saya dihubungi pejabat Dr. Mahathir dan Pejabat Perdana Menteri yang saya perlu bertemu Abdul Gani bagi tujuan pelantikan kerana semua telah dipersetujui untuk saya dilantik,” katanya.

Muhammad Shafee mendakwa, beliau pernah bekerja dengan Dr. Mahathir ketika masih bergelar Presiden UMNO sejak awal tahun 1990-an bagi mewakili parti itu dan parti komponen Barisan Nasional (BN) berhubung pelbagai kes termasuk petisyen pilihan raya.

Katanya, kebanyakan daripada kerja-kerja tersebut tidak dibayar.

“Banyak bil saya untuk kerja perundangan tidak dibayar sejak Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, terutamanya pada ketika Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat memegang jawatan Setiausaha Agung UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dibawa ke pengetahuan Najib pada 2013 dan beliau kemudian bersetuju membayar RM9.5 juta sebagai ganjaran kepada tugasnya menyelesaikan 46 petisyen pilihan raya untuk UMNO dan BN sejak tahun 1990-an.