Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan mereka terhadap institusi-institusi pentadbiran Islam di peringkat kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, dengan segala input baik yang diterima, usaha dapat dimulakan ke arah membaik pulih institusi pentadbiran Islam.

Katanya, beliau percaya langkah itu akan mendapat sokongan raja-raja Melayu yang mahu melihat pentadbiran Islam adalah lebih baik di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

“InsyaAllah saya akan beri jaminan kepada seluruh rakyat di negara ini bahawa pentadbiran Islam ini, kami (kerajaan) mahu supaya betul-betul diberikan satu input baik melalui satu badan yang betul-betul bebas supaya kami ini tidak dilihat ada kepentingan politik dan sebagainya.

“Tdak lama, paling lama pun, empat lima bulan. Selepas itu, kita sudah mempunyai laporan lengkap bagaimana hal-hal pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan dapat diperbaiki,” katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim serta Pemuda Amanah Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE