Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Singapura, namun mengakui kadang-kala terdapat masalah dengan negara republik itu yang diselesaikan secara rundingan.

“Saya mengalu-alukan kenyataan terbuka beliau. Ya kita mempunyai hubungan baik dengan Singapura, ada masalah tapi ia (masalah) boleh diselesaikan dengan cara rundingan dan bukan secara konfrontasi atau kecaman melalui media,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada 226 pelajar sekolah dalam program Back to School di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang, di sini hari ini.

Semalam, Hsien Loong dalam amanat tahun baharunya berkata Singapura dan Malaysia perlu menyelesaikan masalah-masalah dan memelihara hubungan secara keseluruhan.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat Singapura akan bekerjasama rapat bagi memastikan hubungan dengan Malaysia stabil menerusi kesaksamaan dan saling menghormati serta menjunjung komitmen antarabangsa dan ‘rule of law’. -UTUSAN ONLINE