Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Arifin akan dibantu oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai serta enam anggota RCI yang lain.

"RCI ini sudah pun diluluskan dan lantikan itu juga telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong. Minggu depan saya akan berjumpa dengan seluruh anggota RCI ini di kementerian untuk menyerahkan surat lantikan dan memberi taklimat tentang isu Wan Kelian.

"Dan daripada situ, mereka mereka boleh memulakan kerja mereka. Tempoh diberikan dalam RCI itu adalah selama enam bulan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-2, Bil. 1/2019, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Menurut Muhyiddin, selepas tempoh enam bulan, laporan RCI itu akan dibawa ke kementerian untuk diteliti apakah bentuk hasilnya.

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Pada 27 Januari lalu, Muhyiddin memaklumkan, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia berkenaan. - UTUSAN ONLINE