Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perkara pertama adalah menaik taraf jeti di beberapa lokasi terutama di Kuala Rompin, Sungai Puteri dan Tanjung Gemok bagi memudahkan kerja mendaratkan ikan dilakukan.

Bagi tujuan itu, kata beliau, LKIM bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM750,000 bagi menaik taraf Jeti Kuala Rompin dan RM150,000 untuk Jeti Sungai Puteri yang dimasukkan ke dalam perancangan lembaga tersebut pada tahun ini.

“Soal menaik taraf Jeti Tanjung Gemok akan diangkat dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) supaya akhirnya memberi impak kepada insentif pendaratan ikan di situ,’’ katanya selepas mengadakan program turun padang di Kampung Perepat, di sini hari ini.

Menurut Irmohizam, perkara kedua adalah berhubung isu perumahan nelayan, mereka harus memajukan permohonan ke peringkat LKIM untuk diteliti sebelum sebarang bantuan dapat disalurkan.

Perkara ketiga, kata beliau, melibatkan usaha menambah pendapatan keluarga nelayan supaya tidak hanya bergantung kepada hasil tangkapan ikan semata-mata.

Beliau berkata, prospek yang dilihat berpotensi adalah memajukan industri agropelancongan melibatkan generasi kedua atau ketiga nelayan.

“LKIM mengajak generasi muda supaya dapat menjadikan kerjaya nelayan bukan sahaja sebagai nelayan tradisional tetapi turut melibatkan diri dalam aktiviti lain se­perti dalam bidang pelancongan,’’ ujarnya.

Tambah beliau, lembaga itu juga memberi penekanan terhadap elemen pemasaran berikutan kewujudan pasar nelayan Kuala Rompin di Kompleks LKIM Rompin yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahad lalu.

“Kewujudan pasar itu bukan hanya semata-mata berfungsi untuk menjual ikan tetapi bagaimana elemen pemasaran dapat dikete­ngahkan supaya generasi baharu nelayan boleh mengambil peluang untuk menjadi usahawan berjaya,’’ katanya.