Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris berkata, ia boleh direncana melalui pengaplikasian tulisan jawi dalam laporan-laporan berkaitan Pendidikan Islam termasuk paparan di buletin dan papan kenyataan serta penganjuran esei melibatkan para pelajar.

"Ini bukanlah suatu arahan tetapi semuanya melibatkan kreativiti dan inovasi sekolah dan kita hendak berusaha ke arah lebih banyak program melibatkan tulisan jawi, bukan sahaja kepada pelajar Melayu tetapi juga bukan Melayu.

"Pelajar-pelajar yang berminat dengan tulisan jawi, kenapa tidak kita berikan peluang kepada mereka untuk belajar? Tulisan jawi ini tidak semestinya tulisan al-Quran sebab kadang-kadang orang tersalah anggap, kalau belajar jawi ini hendak membawa kepada agama Islam tetapi sebenarnya ia merupakan satu tulisan yang boleh membawa kepada usaha perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kem Jawi Excellent Negeri Perak 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya dan turut dihadiri oleh Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Perak, Roslan Abu Hassan.

Sebanyak 303 murid tahun enam menyertai kem jawi tersebut yang julung kalinya diadakan secara menyeluruh melibatkan penyertaan pelbagai sekolah dari 10 daerah di negeri ini.

Terdahulu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Mat Lazim berkata, sejarah telah membuktikan tulisan jawi telah digunakan dalam skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada awal abad ke-15.

Beliau berkata, peranan tulisan jawi telah berkembang maju bukan sahaja di Tanah Melayu dan Nusantara, malah digunakan dalam urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.

"Malahan, perjanjian-perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris, kesemuanya tertulis dalam skrip jawi," katanya. - UTUSAN ONLINE