Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tulisan Jawi lambang, identiti Melayu

SEBAHAGIAN pelajar SMK Pasir Gudang menunjukkan sisipan akhbar
SEBAHAGIAN pelajar SMK Pasir Gudang menunjukkan sisipan akhbar jawi keluaran Utusan yang baru dilancarkan dengan kerjasama Utusan dan JCorp di Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 16 Feb. - utusan Melayu Mingguan, iaitu akhbar tulisan Jawi yang diterbitkan semula dalam versi cetak harus dikekalkan kerana membawa lambang dan identiti masyarakat Melayu di negara ini.

Pengetua Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang, Rosnah Ismail memberitahu, akhbar tersebut da­pat membantu usaha pe­merkasaan semula tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, tulisan Jawi semakin hilang penggunaannya di negara ini kerana tidak ramai masyarakat yang mampu membacanya, apatah lagi mahu menulis menggunakannya.

"Penerbitan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan versi cetak ini secara tidak langsung memberi peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda untuk melatih dan memahirkan diri dengan Jawi kerana tulisan itu bukan sahaja berfungsi sebagai bahan bacaan, malah juga boleh dijadikan sebagai bahan rujukan tentang sesuatu perkataan dieja dalam tulisan Jawi," katanya.

Penerbitan semula Utusan Melayu Mingguan versi cetak yang diedarkan di negeri ini adalah tajaan daripada syarikat konglomerat milik kerajaan negeri, Johor Corporation (JCorp).

Sebanyak 10,000 naskhah akhbar berkenaan diedarkan ke sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), hospital serta masjid dan surau terpilih di seluruh negeri ini.

Sementara itu, guru Bahasa Melayu sekolah berkenaan, Nor Asmah Ismail turut mengakui akhbar Utusan Melayu Mingguan boleh dimanfaat oleh semua lapisan masyarakat dan tidak terhad hanya kepada golongan pelajar.

"Seharusnya kemahiran dan penguasaan tulisan Jawi ini dimartabatkan kembali kerana merupakan lambang dan identiti milik masyarakat Melayu.

"Biarlah kita mengejar kemo­denan sehingga ke peringkat global, namun jangan dilupa ciri-ciri glokal yang dimiliki, iaitu tulisan Jawi," katanya sambil berharap setiap pelajar meluangkan masa untuk memahirkan pembacaan dan penulisan Jawi mereka.

Seorang murid, Amir Ham­zah Hizir, 17, turut gembira kerana dapat menggunakan akhbar Utusan Melayu Mingguan untuk meningkatkan penguasaan tulisan Jawi.

"Tidak ramai rakan saya yang boleh membaca Jawi. Jadi, akhbar ini dapat membantu mereka untuk bersama-sama mempelajari tulisan Jawi," katanya.

Seorang lagi pelajar, Ayu Sofia Arina Alseekri, 15, turut menyifatkan penerbitan semula Utusan Melayu Mingguan dalam versi cetak mampu memperkasakan semula penggunaan tulisan Jawi.

"Memahirkan diri dengan tulisan Jawi juga merupakan langkah pertama dalam memahirkan pembacaan al-Quran kerana menggunakan huruf-huruf yang sama. Saya harap tulisan Jawi akan lebih berkembang agar warisan ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain