Katanya, dengan menyebarluaskan secara berterusan dalam segala aspek kebaikan hasil pendekatan pihak sekolah yang diserlahkan dalam pelbagai bentuk pencapaian, ia boleh dikongsikan dengan sekolah lain, masyarakat, negara dan dunia.

"Selalu banyak bahan-bahan positif sebegini kita baca tentang apa yang berlaku di luar negara tetapi sebenarnya turut berlaku di negara kita. Sebagai contoh ada sekolah yang punyai saluran televisyennya sendiri, saluran Youtube dengan penghasilan video menarik dan menyentuh hati di samping warung kopinya sendiri.

"Justeru bahan-bahan positif sebegini kita boleh lambakkannya juga dalam media sosial dan ditularkan, yang boleh memberi penghargaan, rangsangan kepada murid-murid yang kreatif dan juga kepada guru-guru.

"Mereka (guru-guru) merupakan golongan yang begitu berharga dalam pembentukan masyarakat dan negara," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Hal Ehwal Murid Peringkat Kebangsaan Kali Kelima di sini hari ini.

Simposium selama tiga hari itu yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan bertemakan Sebarkan Kegembiraan, Serlahkan Kasih-Sayang, Semarakkan Hormat Menghormati, Ke Arah Kemenjadian Murid Unggul.

Ia diharap menjadi cetusan lebih banyak inovasi, kreativiti, amalan dan model terbaik yang boleh diteladani serta berimpak tinggi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunseling, disiplin dan pengurusan hal ehwal murid.

Dalam majlis itu juga hadiah kepada pemenang dalam 14 kategori pertandingan turut disampaikan termasuk bagi amalan terbaik kaunseling dan disiplin bagi sekolah rendah dan menengah di samping video inspirasi kreatif nilai serta sebaran media kaunseling dan disiplin tular paling popular. - UTUSAN ONLINE