Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan terus menyiasat, memantau dan berinteraksi dengan orang ramai khususnya para nelayan walaupun sehingga hari ini tiada sebarang kes berkenaan spesies ulat bulu laut yang dikatakan menyerang perairan Port Dickson.

Kenyataan itu menyebut, pihaknya telah mengubungi Pegawai Kesihatan Daerah Port Dickson dan dimaklumkan tiada laporan secara rasmi diterima oleh mereka berkaitan kejadian tersebut.

"Sekiranya dakwaan itu benar, pihak jabatan mengesyaki ulat bulu tersebut adalah dari spesies Chloeia flava yang terdapat di sekitar perairan Pantai Barat dan Pantai Timur.

"Ulat bulu ini dikhuatiri beracun serta memudaratkan manusia yang terkena sengatannya seperti radang, melecur, sakit (pedih) serta pelbagai kesan sampingan lain," kata kenyataan itu, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE