Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, hak anak pencarum ke atas simpanan KWSP ahli yang beragama Islam masih terpelihara apabila berlaku kematian sama ada dinamakan sebagai penama atau sebaliknya.

Jelas kenyataan itu, penularan isu itu juga adalah sama seperti sebaran mengenai pembahagian simpanan ahli KWSP kepada Amanah Raya Berhad yang juga palsu sebelum ini.

“Apabila berlaku kematian ahli beragama Islam, penama hanyalah sebagai wasi atau pentadbir iaitu bertanggungjawab mengagihkan simpanan ahli KWSP yang berstatus harta pusaka mengikut faraid.

“Mengikut undang-undang, penamaan tidak akan berkuat kuasa sekiranya pada ketika kematian ahli, penama masih belum mencapai umur 18 tahun kerana mereka tidak layak bertindak sebagai wasi. Namun, ini tidak bermakna anak ahli di bawah umur 18 tahun yang didaftarkan sebagai penama tidak akan mendapat haknya ke atas simpanan ahli,” jelas kenyataan itu.

KWSP mengeluarkan kenya­taan itu bagi menafikan khabar angin yang mendakwa anak ahli KWSP tidak layak mengeluarkan caruman selepas berlaku kematian sehingga berusia 18 tahun ke atas.

Tambah kenyataan itu, pembayaran simpanan ahli yang mening­gal dunia akan diproses seperti tiada penama iaitu berdasarkan pembahagian mengikut Sijil Faraid atau Perintah Pembahagian atau Surat Kuasa Mentadbir yang mana dikemukakan dahulu kepada KWSP.

“Bagi ahli bukan beragama Islam pula, penama adalah benefisiari atau penerima mutlak tidak kira umur.

“Pada masa ini, isu pembahagian simpanan ahli yang mening­gal dunia melibatkan penama atau waris di bawah umur 18 tahun kepada Amanah Raya Berhad secara automatik adalah tidak benar. Untuk maklumat lanjut sila layari www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pe­langgan KWSP di 03-8922 6000,” menurut kenyataan itu .