Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, pihak­nya menyifatkan serangan yang melibatkan penderaan dan penyeksaan mangsa itu sebagai langsung tidak berperikemanusiaan.

“Kami sebagai NGO-NGO di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Myanmar yang membunuh rakyat Rohingya di Rakhine dengan kejam terutama kesanggupan mereka membunuh golongan tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Sudah tiba masanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN memainkan peranan untuk menghentikan keganasan yang dilakukan oleh Myanmar selama ini,” katanya di sini hari ini.

Wakil ketujuh-tujuh NGO ber­arak sejauh 200 meter sebelum menghantar nota bantahan tersebut di Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir.

Tujuh NGO tersebut ialah IRIMM, Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis), Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Amanah Rasah Cekal (ARC) dan Pertubuhan Kipidap.

Pada Sabtu lalu, tentera Myanmar menyerang perkampungan Rohingya menggunakan helikopter di Rakhine mengakibatkan se­kurang-kurangnya 25 orang ter­bunuh termasuk wanita dan kanak-kanak manakala ratusan penduduk kampung melarikan diri berikutan serangan tersebut.