Jenazah tiga sahabat, Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Mohd Hakimi Mohd Dahlan, 17 dan Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Al-Falah Masjid Al-Hashimi kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman dan Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Datuk Adnan Hashim.

Sementara itu, tiga lagi jenazah iaitu Muhamad Rahman Rozali, 17, dikebumikan di Kampung Tok Dosah, Bachok;
Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14, di Bunut Payong, Kota Bharu dan Ahmad Farhan Zulkifli, 14, di Dabong, Kuala Krai.

Jenazah seorang pelajar warga Thailand, Sarifuddin Muhammad, 14,  juga selamat dikebumikan di kampung halamannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, tujuh pelajar berkenaan maut selepas van dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di sini 

Lebih memilukan, rombongan mereka yang terdiri daripada 12 pelajar dan dua guru pengiring tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk menyertai sebuah program tafsir al-Quran sempena Ramadan di Kota Bharu.- UTUSAN ONLINE