Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, dua ekor gajah dewasa yang masih kuat berjaya dikeluarkan menggunakan jentera berat dari kem itu dan masuk semula ke kawasan hutan.

Menurutnya, maklumat kejadian itu dimaklumkan orang awam pada 10 September lalu mengenai sekumpulan gajah yang gagal keluar daripada kolam lumpur.

“Berdasarkan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Penyelamat Hidupan Liar, Pejabat Hidupan Liar Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian bagi misi menyelamat,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Augustine menambah, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, lima daripada sembilan gajah yang terperangkap ditemukan mati di dalam kolam sekurang-kurangnya seminggu.

“Terdapat dua ekor gajah dewasa yang masih kuat dilepaskan semula ke kawasan hutan manakala dua ekor lagi yang dikesan terlalu lemah, kekurangan air serta buta terpaksa menjalani eutanasia bagi mengelak haiwan itu terus sengsara,“ katanya.

Eutanasia ialah satu kaedah mematikan seseorang atau haiwan yang menanggung azab penyakit yang tidak dapat disembuhkan lagi atas dasar perikemanusiaan supaya tidak berpanjangan mengalami azab.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan gajah itu dipercayai masuk ke kolam lumpur berkenaan untuk menyejukkan diri dan mandi.

Bagaimanapun katanya, kumpulan haiwan itu mungkin tersalah jangkaan mengenai kedalaman dan keadaan lumpur seperti pasir jerlus di kolam tersebut menyebabkan haiwan itu tidak dapat keluar.

Augustine berkata, pihaknya telah menimbus kolam itu dengan tanah bagi mengelak kejadian sama berulang dan menasihati mana-mana pihak yang membuat penggalian supaya menimbus kembali atau memagar kawasan itu selepas kerja-kerja tamat.