Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Zahida Zarik Khan berkata, pihaknya yang diberi tanggungjawab mengendalikan tui­syen percuma berkenaan akan berusaha memastikan bilangan pelajar pada tahun hadapan bertambah serta dilaksanakan secara menyeluruh di semua Parlimen.

Ketika ini kata beliau, seba­nyak 160 Parlimen terlibat dengan setiap pusat tuisyen akan membantu 100 pelajar meningkatkan penguasaan mereka dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Walaupun YPM buat masa ini diberi peranan mengendalikan tuisyen rakyat di 160 kawasan Parlimen, menerusi agensi-agensi lain di bawah kementerian seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Felcra sebagai contoh, bantuan tuisyen percuma itu boleh dikatakan melibatkan semua kawasan Parlimen.

“Hasrat kami adalah mulai tahun hadapan kita akan meluaskan pengajaran tuisyen ini di semua Parlimen dan jumlah pelajar ditingkatkan daripada 100 kepada 200 pelajar terdiri daripada golongan anak asnaf yang kurang berkemampuan dan mereka yang berminat untuk belajar tetapi tidak mempunyai sumber kewa­ngan yang kukuh,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Puteri UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada 27 keluarga mangsa banjir menerusi program Puteri Peduli di Kampung Parit Lampung dan Kampung Tanjung Labuh, Tehel di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin, Suzalipah Md. Len.

Pada majlis itu, Zahida me­­­n­yam­paikan bantuan wang tunai, kelengkapan sekolah dan peralatan dapur kepada keluarga dan pelajar di dua kampung itu yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Menurut beliau, Tuisyen Rak­yat@KKLW yang mula diper­kenalkan pada tahun 2013 menyediakan peruntukan sebanyak RM4.8 juta bagi membantu murid serta pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, tahun ini pergerakan itu diberi peranan oleh KKLW bagi membantu menyelaraskan tuisyen percuma tersebut dan setakat ini sambutan yang diterima daripada peserta dan ibu bapa amat menggalakkan.

“Pelajar yang terlibat dipilih oleh Puteri UMNO dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) setiap Parlimen melibatkan kriteria go­longan kurang berkemam­puan, yang tidak dapat menyertai tuisyen luar tetapi mereka ini mempunyai keinginan tinggi untuk berjaya dan kita harap ia dapat memberi faedah kepada pelajar,” katanya.