Ketengah memperuntukkan hampir RM140,000 bagi melaksanakan Program Tuisyen Rakyat 2018 bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik para pelajar luar bandar dalam wilayahnya.

Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail berkata, program yang dikendalikan secara percuma ini merupakan salah satu keutamaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan menyasarkan menyasarkan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

"Ketengah telah melaksanakan Program Tuisyen Rakyat @ KKLW ini sejak tahun 2016 dengan mengendalikan 29 pusat tuisyen di tiga kawasan Parlimen melibatkan 32 buah sekolah.

"Melalui program ini, kita sediakan kemudahan kelas bimbingan percuma kepada para pelajar luar bandar bagi mempertingkatkan tahap penguasaan mata pelajaran teras dan pencapaian akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan.

"Impaknya kita dapat lihat peningkatan peratusan Lulus Semua Mata Pelajaran (LSMP) di samping peningkatan para pelajar yang memperoleh keputusan Gred A dalam mata pelajaran teras," katanya di Majlis Pelancaran Tuisyen Rakyat @ KKLW Peringkat Parlimen Hulu Terengganu.

Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Dr. Ghazali Taib di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Landas, Ajil, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Ketengah turut mengagihkan zakat sebanyak RM23,000 melibatkan 92 orang penerima dari golongan asnaf dan fakir miskin.

Menurut Omar, pembahagian zakat ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat anak syarikat Ketengah yang menjurus ke arah konsep saling membantu kepada yang memerlukannya. - UTUSAN ONLINE