Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian akan berbincang dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi melihat kewajaran mendapatkan tandatangan itu.

“Saya juga kena lihat semula semua perkara yang dibangkitkan itu. Saya mahu dapatkan maklumat daripada lembaga itu terlebih dahulu.

“Ini termasuk juga jadual kajian Sejarah yang dibuat pada hujung minggu pertama selepas cuti sekolah,” katanya selepas majlis buka puasa bersama warga Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesukaran pelajar terpaksa beratur lebih dua jam untuk mendapatkan tandatangan di Jabatan Warisan Negara, Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Mahdzir, jika tiada keperluan untuk mendapatkan tandatangan itu pihaknya bersedia memansuhkannya.

“Kita akan tengok balik sama ada perlu sampai begitu (mendapatkan tandatangan) dan kalau tidak perlu, tak payahlah (tak perlu diteruskan),” ujar­nya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan semua pengusaha kantin di sekolah supaya mematuhi garis panduan penjualan makanan dalam usaha mengurangkan risiko obesiti dalam kalangan pelajar.

“Kita akan mencari mekanisme untuk melakukan penguatkuasaan untuk memantau makanan yang dijual di kantin sekolah.

“Jika pengusaha kantin tidak dapat mencapai standard yang ditetapkan kementerian, kita akan beri amaran dan jika terus berdegil, maka tindakan tegas akan diambil,” katanya.