ANIFAH AMAN
ANIFAH AMAN

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, sebarang tohmahan yang menuduh Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing dalam siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam tersebut merupakan penghinaan yang amat besar terhadap negara ini.

“Apabila Duta Korea Utara dipanggil oleh Kementerian Luar, kita telah menekankan bahawa penyiasatan tersebut telah dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa serta ia juga telah dijalankan mengikut undang-undang serta peraturan negara ini.

“Malah, siasatan pihak polis juga adalah berdasarkan kepada semua petunjuk sedia ada dan petunjuk ini akan disiasat sepenuhnya. Malah, petunjuk tersebut mungkin melangkau dan tidak ada hubung kait dengan maklumat yang diberi pihak kedutaan mahu pun entiti-entiti lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa satu siasatan bersama dilakukan antara kerajaan Malaysia dengan Korea Utara bagi menyiasat punca kematian Jong-nam.