Menurut sumber, laporan itu dibuat oleh dua Pegawai Khas Peguam Negara, Amir Nasarudin dan Siti Rahayu Mumazaini bagi pihak Tommy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada pukul 3.15 petang tadi.

Dua pegawai berkenaan keluar dari IPD Putrajaya pada pukul 4.45 petang namun, usaha untuk mendapatkan respons mereka gagal apabila kenderaan jenis yang dinaiki tidak berhenti untuk berjumpa media.

Sementara itu, Tommy dalam laporan sebuah portal hari ini mengesahkan beliau membuat laporan berhubung tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Katanya, ada pelbagai mesej beredar di media sosial yang menuduhnya tidak senang kepada Islam.

"Ini sama sekali tidak benar. Justeru saya membuat laporan kepada polis agar hal ini boleh disiasat," katanya seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan terbabit.

"Peguam Negara tidak datang tapi diwakilkan kepada dua Pegawai Khasnya, kes ini akan disiasat oleh Bukit Aman," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dihubungi berkata, laporan itu akan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT). - UTUSAN ONLINE