Penasihatnya, Yan Lee berkata, mahkamah seumpama itu sebelum ini pernah diperkenalkan di Sabah dan Sarawak oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum pada 2015.

"Ketika memperkenalkan mahkamah khas ini Richard merupakan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

"Jadi, kami amat berharap Richard dapat mencadangkan mahkamah yang sama di Semenanjung pula bagi menangani isu kerosakan alam sekitar khususnya yang serius berlaku di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mahkamah khas alam sekitar itu memulakan operasi di Sabah pada 2015 untuk mendengar dan menyelesaikan kes-kes berkaitan alam sekitar di peringkat Majistret, Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Pulau Pinang menjadi antara negeri yang kerap dilanda bencana membabitkan alam sekitar berikutan pembinaan projek-projek pembangunan infrastruktur di kawasan cerun bukit.

Dalam perkembangan lain, Lee mendesak kerajaan negeri untuk menjalankan kajian semula terhadap pembangunan infrastruktur di kawasan cerun bukit yang dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya kemusnahan alam sekitar.

"Kajian ini perlu segera dijalankan dan hasil kajian itu perlu didedahkan kepada masyarakat, malah syor-syor kajian ini perlu dipatuhi oleh kerajaan negeri," katanya. - UTUSAN ONLINE