Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tidak ada projek yang lebih penting di negeri ini daripada satu tindakan yang drastik untuk mencari jalan mengatasi masalah banjir dengan bukan hanya bercakap kosong.

Beliau berkata, projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak lagi relevan jika negeri ini sering ditenggelami air dan sepatutnya tebatan banjir diberikan keutamaan untuk dilaksanakan.

"Selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir khususnya di Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang, saya ingin bertanya sampai bila keadaan ini akan terus berulang di negeri ini sedangkan ada jalan untuk menyelesaikannya jika semua pihak mengambil tindakan yang drastik.

"Keadaan yang teruk di Pasir Mas dan Rantau Panjang ialah disebabkan oleh air Sungai Golok. Di sebelah Thailand, tebingnya telah dibaik pulih dan menyebabkan air melimpah masuk ke negara kita, apa sudah jadi dengan projek tebatan banjir di Sungai Golok yang diumumkan oleh kerajaan kita dahulu.

"Jika tidak dibina tebatan banjir keadaan ini akan terus berlarutan, apa guna kita ada kereta api laju jika landasannya ditenggelami air?" katanya, di sini hari ini.

Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, masalah banjir semakin menjadi-jadi sejak tahun 1970-an apabila pembalakan di kawasan hulu Kelantan diadakan secara besar-besaran.

Tambahnya, Kerajaan Pas Kelantan harus lebih proaktif dalam isu pembalakan dan memberhentikan sama sekali penggondolan hutan serta bukit di hulu negeri ini kerana aktiviti tersebut memberikan kesan yang besar kepada rakyat. - UTUSAN ONLINE