Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan mengambil kertas siasatan terdahulu bagi meneliti sekiranya terdapat aspek lain bagi meneruskan siasatan.

Menurut beliau, saksi-saksi terdahulu juga akan dipanggil semula untuk siasatan sekiranya terdapat elemen baharu seperti dakwaan laporan polis yang dibuat bapa kepada Altantuya Shaariibuu.

“Pasukan penyiasat yang menyiasat kes ini juga akan dipanggil semula untuk bantu siasatan tersebut.

“Mahkamah sudah pun mengeluarkan keputusan berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi tersebut dan perbincangan akan dilakukan bersama Peguam Negara untuk proses siasatan diteruskan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia kali ke-40 di Hotel Kuala Lumpur International.-UTUSAN ONLINE