Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan mulai esok sehingga Mac 2019 itu berperanan melakukan pemantauan menyeluruh terhadap kenaikan harga barang sepanjang musim perayaan.

Menurut beliau, ja­wa­tankuasa itu juga bertanggungjawab memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi bagi menampung permintaan di setiap kawasan terutamanya membabitkan kedai runcit.

“Sehingga hari ini keadaan masih ter­kawal dan kami di sini masih belum menerima sebarang rungutan daripada pengguna wa­laupun umat Islam akan mula berpuasa esok.

“Walaupun buat masa ini Menteri Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan belum dilantik, CASSA tetap akan membuat pemantauan dan membantu menangani masalah pengguna,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna boleh membuat aduan kepada CASSA berhubung kenaikan harga barang yang dihadapi secara atas talian menerusi hotline 03-78476295 atau emel ke [email protected]

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya menunggu laporan dan maklumat daripada sukarelawan yang membuat pemantauan terhadap harga barang sepanjang Ramadan ini.

“Maklumat itu akan kami kumpul sebelum siasatan dan sebarang tindakan diambil.

“Tak dinafikan masih wujud peniaga-peniaga yang degil dan menaikkan harga barang terutamanya makanan bagi mengaut keuntungan yang berganda, walaupun masih belum ada menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah ini, pengguna harus mencegah diri mereka sendiri daripada ditipu peniaga,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pre­siden Gabungan Persatuan-persa­tuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, lazimnya, pihaknya me­nerima aduan pengguna membabitkan kenaikan harga barang pada minggu kedua Ramadan dan jumlah­nya meningkat menje­lang Aidilfitri.

“Mereka akan membuat laporan selepas ba­­zar-bazar Ramadan beroperasi dan laporan biasanya membabitkan harga barangan dan tahap kebersihan makanan. 
 “Walaupun keadaan kini masih terkawal, kami tetap berharap pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) te­rus menjalankan tugas dalam memantau harga barang jualan supaya tidak ada peniaga yang berani mengambil kesempatan menje­lang Aidilfitri ini,” katanya.