Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, antara pihak yang perlu dilibatkan dalam jawatankuasa tersebut ialah ahli Persatuan Pekerja Bersara MAS (MASRA) terutamanya penaungnya, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang merupakan seorang tokoh dihormati dan terlibat secara langsung dalam penubuhan MAS.

“Kita tidak sepatutnya melupakan fakta bahawa Malaysia mempunyai ramai tokoh korporat dan kapten industri yang telah membuktikan keupayaan mereka membantu memulihkan organisasi besar menjadi perniagaan yang menguntungkan.

“Pada masa yang sama, kita juga mempunyai ramai pakar ekonomi dan ahli perniagaan yang terkenal di dalam dan luar negara sehinggakan banyak institusi antarabangsa turut meminta nasihat dan ingin mendapatkan ilmu pengetahuan daripada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir memberitahu kerajaan akan membuat kajian sama ada MAS perlu dijual ataupun tidak kerana syarikat itu sedang mengalami kerugian.

Beliau juga berkata, beliau maklum dengan cadangan daripada MASRA untuk membantu menyelamatkan MAS dengan bekerjasama dengan pihak swasta, namun kata beliau, strategi itu tidak menguntungkan.

Mengulas lanjut, Lam Thye percaya MAS dapat meneruskan prestasi baik jika pihak pengurusannya menerima sokongan penuh daripada semua pihak.

Kata beliau, MAS merupakan pemacu ekonomi utama negara dan sebuah aset strategik yang tidak boleh diketepikan.

“Pesawatnya bukan sahaja membantu menerbangkan penumpang ke destinasi masing-masing tetapi sebagai pembawa bendera Malaysia, ia juga membantu mempromosikan negara berbilang kaum kita di luar negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE