Koordinator, Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (Padi Rescue), Nurfitri Amir Muhammad berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu diharapkan dapat mewujudkan sebuah perubahan holistik dan berkesan dalam industri padi beras negara.

"Kami menyokong penuh pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub yang mahu menubuhkan Majlis Perundingan Pertanian Negara bagi memperkasa dan meningkatkan produktiviti asas tani negara.

"Menerusi sub kumpulan tersebut, kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kementerian demi menjamin masa depan keselamatan makanan negara malah kami di Padi Rescue juga bersedia memberikan sumbangan berdasarkan kepakaran dan penglibatan secara langsung kami dalam industri ini," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Nurfitri Amir, industri padi beras negara dilihat perlu dilakukan perubahan secara dastrik dan menyeluruh.

"Industri ini kelihatan tidak berkembang sejak dari tahun 1980-an lagi dan perkara tersebut jelas sekiranya melihat data Tahap Sara Diri penghasilan beras kekal sekitar 70 peratus sedangkan perlu tetap disasarkan pada tahap 100 peratus.

"Malah penemuan kajian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Padi Rescue turut menunjukkan kebanyakan pesawah masih dibelenggu kemiskinan dengan purata hasil 4.8 tan sehektar dan purata saiz sawah sekitar 1.26 hektar," katanya.

Padi Rescue merupakan sebuah badan bertindak yang kini memiliki kira-kira 200 ahli terdiri daripada pesawah padi, pengilang dan pemborong beras serta lapan buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) petani. - UTUSAN ONLINE