Pengerusi Yayasan Karyawan Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, institut tersebut akan berperanan mengendalikan forum, seminar, perbincangan dan penyelidikan tentang perkara-perkara yang berkaitan kewarganegaraan.

“Institut ini akan memberi nasihat dan rujukan pakar mengenai silibus dan kurikulum untuk menga­jar mata pelajaran berkenaan kewarganegaraan di sekolah-sekolah, universiti-universiti dan institusi pengajian yang lain.

“Institut ini juga akan menyediakan kurikulum yang merangkumi perkara-perkara seperti Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, sistem pemerintahan dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Memupuk Kewarganegaraan di Malaysia sempena program Bicara Harvard di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini hari ini.

Ahmad Sarji turut mencadang­kan supaya institut tersebut dinamakan sebagai Institut Pendidikan Kewarganegaraan Tunku Abdul Rahman.

Sementara itu, ketika mengulas tindakan sesetengah pihak termasuk ahli politik yang mempersoalkan perkara-perkara terkandung dalam Perlembagaan Per­sekutuan, beliau berkata, ia berpunca daripada keengganan pihak tersebut untuk mempelajari sejarah Perlembagaan itu sendiri.

“Banyak perkara yang perlu difahami sebelum kita mempersoalkan kandungan Perlembagaan Persekutuan termasuklah asal-usul kuasa Raja-raja Melayu, sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan malahan kan­dungan Laporan Suruhanjaya Reid 1956.

“Di sinilah pentingnya untuk kita mengajarkan sejarah Perlembagaan Persekutuan di sekolah dan universiti,” katanya.

Program Bicara Harvard yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad merupakan program tahunan anjuran PNM yang kini memasuki siri kedua.

PNM turut menyediakan Sudut Harvard di aras empat, Anjung Bestari yang menempatkan 1,673 naskhah bahan rujukan koleksi Harvard.