Kemangkatan Almarhum yang memerintah Kedah selama 59 tahun diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah di Wisma Darul Aman di sini.

Almarhum meninggalkan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun dan tiga puteri.

Ahmad Bashah berkata, jenazah Tuanku Abdul Halim akan disembahyangkan di Istana Anak Bukit pukul 10.30 pagi esok.

Menurut beliau, penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan, bermula pukul 12.30 tengah hari dan terakhir pukul 1.30 petang manakala orang ramai pula antara pukul 11.30 pagi hingga 12.30 petang.

“Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir mulai 11.30 pagi dan jenazah Tuanku Abdul Halim akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada pukul 4 petang," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Bashah turut mengumumkan tempoh perkabungan negeri ini adalah selama tujuh hari bermula hari ini dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut manakala bendera Malaysia pula dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.

“Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, kerajaan negeri juga mengumumkan esok sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri ini.

“Bagaimanapun peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berjalan seperti biasa,” katanya.