Pegawai eksekutif syarikat, dari Semenyih itu memenangi cabutan bertuah tersebut untuk akaun simpanan anaknya Airis Sofea Mohd Rais, 7, yang merupakan pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Taman Jasmin.

Azlifa, 38, berkata usahanya menabung SSPN untuk anaknya sejak berusia tiga tahun, serta hadiah wang tunai RM10,000 itu merupakan rezeki untuk dikreditkan ke dalam akaun simpanan anaknya.

"Simpanan ini bukanlah untuk ibu bapa namun ibu bapa bertanggungjawab memastikan persiapan awal dalam pendidikan dan masa hadapan anak, supaya lebih terjamin.

"Saya juga merupakan peminjam PTPTN, jadi saya sedar kos pendidikan masa depan semakin meningkat, daripada kita meminjam lebih baik kita sebagai ibu bapa menabung untuk anak-anak, saya berharap ibu bapa di luar sana jangan takut untuk menyimpan walaupun RM10," katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah Cabutan Bertuah Wow Bulan Oktober 20 Tahun PTPTN di Pasaraya Giant, Bandar Kinrara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, sambutan Hari Mesra Pelanggan disempurnakan Timbalan Ketua Eksekutif Dasar dan Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Mastura berkata sambutan tersebut memberi peluang kepada ibu bapa untuk mendapatkan khidmat nasihat dari sudut produk SSPN atau SSPN-i Plus. - BERNAMA