Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yakin, projek itu merupakan satu langkahan besar bagi memenuhi hasrat dan keperluan rakyat khususnya kalangan muda dan menepati keperluan pelabur.

“TTT di Telaga Papan Setiu ini bukan perkara kecil tetapi juga dengan hasrat untuk melibatkan pantai timur lebih dekat dengan negara-negara di sebelah timur (dalam hubungan dagang), katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2018 dalam sidang Dewan Undangan Negeri petang ini.

TTT yang berasaskan Revolusi Perindustrian Keempat akan dibangunkan di atas tapak seluas 800 hektar disasarkan sebagai pusat pertumbuhan digital wilayah yang memberi keutamaan kepada industri kandungan komunikasi, infrastruktur  dan teknologi baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika membentangkan Bajet 2018 Isnin lalu berhubung titik sentuhan ke-24 itu memberitahu, TTT dirancang dengan teliti dalam persekitaran biodiversiti tanah bencah Setiu dan berhampiran dengan tapak rancangan pembinaan stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurut Ahmad Razif, pelaksanakan projek tersebut yang bakal melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta dan dijangka dapat mewjudkan 10,000 peluang pekerjaan merupakan strategi  penting dalam merealisasikan keseimbangan pembangunan antara wilayah.

Sementara itu, Tengku Putera berkata, kerajaan negeri turut melihat potensi kewujudan hab industri marin termasuk di kawasan Pulau Kerengga Marang jika terdapat kesediaan sektor swasta tempatan yang sudah mempunyai pekaran dan kemahiran untuk menjayakannya.

Katanya, ia boleh dijadikan sebagai pusat penyelenggaraan kapal-kapal industri dan perdagangan yang selama ini terpaksa tertumpu ke Singapura dan di pantai barat kerana ketiadaan kemudahan itu di kawasan pantai timur.

“Kerajaan negeri akan membantu apa yang sepatutnya, walaupun tidak mampu membantu keseluruhannya agar dapat memberikan lagi keyakinan,’’ ujarnya. -UTUSAN ONLINE