Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi itu dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih apabila BN menang hasil sokongan pengundi muda.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu menambah, selepas 10 bulan PH mentadbir negara, anak-anak muda menyedari bahawa mereka telah tertipu dengan janji dan fitnah yang direka bagi menjatuhkan BN.

“Yang paling cepat sedar dibohongi adalah anak-anak muda. Kalau dulu saluran yang amat ditakuti oleh BN dalam mana-mana PRK atau PRU adalah saluran pengundi muda iaitu saluran 4, 5 dan 6, kalau tak ramai pengundi. Kalau besar jumlah pengundi, saluran 8, 9, 10 dan 11.

“Dulu kita takut saluran ini kerana biasanya mereka tidak undi BN, tetapi sekarang saluran ini yang beri kemenangan besar kepada kita.

“Ini jelas bahawa golongan muda yang membawa ombak baharu, sehingga tenggelamkan kita dalam PRU-14, hari ini tsunami itu berpusing ke arah PH dan mereka kini berdepan tsunami yang mereka cipta sendiri,” katanya ketika berkempen di Kampung Bemban di sini malam tadi.

Mohamad berkata, ramai yang terpesona dengan janji-janji dibuat PH semasa PRU-14 antaranya untuk memansuhkan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bayaran tol, menurunkan harga minyak serta melupuskan pinjaman peneroka Felda.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau yakin kerjasama antara UMNO dan Pas akan menguntungkan pembangkang sekali gus berupaya untuk mengalahkan PH dalam PRU-15 nanti.

Katanya, kekalahan BN di Negeri Sembilan dalam PRU-14 boleh dielakkan sekiranya kedua-dua parti tidak bertanding sesama sendiri sehingga memberi kemenangan kepada PH.

“Atas sebab itu saya beritahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kita tak akan ke mana kalau terus berlawan. UMNO dan Pas adalah dua parti orang Melayu terbesar tapi sebab tak ada persefahaman dan tak bersatu, kita kalah,” ujarnya.