Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Trump turut menyifatkan Najib sebagai sahabat baik­ dan mereka saling mengenali sebelum beliau menjadi Presiden AS.

Katanya, paling membanggakan apabila Trump memuji Najib sambil melihat para pemimpin ASEAN yang lain.

“Perdana Menteri, Najib merupakan sahabat baik saya, betul-be­tul sahabat baik saya. Kami saling mengenali sebelum saya menjadi Presiden, ketika saya dalam dunia perniagaan. Dalam kehidupan, kita tidak tahu di mana kita akan ber­akhir,” kata Anifah sebagai memetik kenya­taan Trump.

“Dia melihat pemimpin-pe­mim­pin ASEAN yang lain sewaktu berkata demikian. Wow!,” tambah Anifah.

Malaysia merupakan negara penganjur dialog berkenaan yang diadakan sempena 40 tahun perhubungan rantau ini dengan AS dan juga ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN.

Dialog tertutup tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di sini yang dipengerusikan oleh Presiden Fili­pina, Rodrigo Dutarte.

Dialog itu antara lain membincangkan mengenai kejayaan hubu­ngan 40 tahun kedua-dua rantau, isu berbangkit seperti pertikaian Laut China Selatan, keganasan, ekonomi digital dan rancangan masa depan.