Beliau yang juga Wakil Kanan Fatah di negara ini menambah, Presiden AS, Donald Trump tidak mempunyai asas untuk campur tangan dalam konflik antara Palestin dan Israel apatah lagi untuk membuat pengumuman seperti itu.

Ujar beliau, pengumuman Trump itu juga merencat usaha Fatah selaku pihak berkuasa Palestin untuk mencari usaha damai dalam krisis dengan Israel khususnya ke arah penyelesaian dua negara.

Sehubungan itu, beliau me­rayu dan menggesa seluruh masyarakat dunia bangkit menyuarakan penentangan dan memberi tekanan terhadap AS khususnya Trump untuk menarik semula pengiktirafan tersebut.

“Konfrontasi ter­baru yang dicetuskan oleh Trump ini tidak sepatutnya berlaku dan Fatah tetap dengan pendirian serta tidak berganjak dengan hakikat Baitulmaqdis adalah milik dan kekal buat Pa­lestin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis jamuan makan tengah hari delegasi luar negara bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.