Pengarah Kreatif Utusan Karya Sdn. Bhd., Azha Abu Bakar berkata, trofi yang berkonsepkan rekaan moden, elegan dan kontemporari itu diperbuat daripada kaca berwarna kristal hitam dan emas.

Katanya, trofi seberat 2.8 kilogram itu dihasilkan bagi menampilkan keunikannya selain memberi penghargaan yang tinggi kepada semua pemenang anugerah tersebut.

“Rekaan trofi kali ini sangat eks­klusif dan istimewa. Bagi saya, ia merupakan satu penghargaan tinggi untuk turut terlibat dalam majlis yang berprestij ini.

“Saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan peluang tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kumpulan Utusan buat julung kalinya akan me­nganjurkan Utusan Business Awards 2015 pada 1 Mac ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Anugerah tersebut menampilkan 36 kategori dengan 25 kategori bagi mengiktiraf kecemerlangan industri, sembilan kategori kecemerlangan kepimpinan dan tiga kategori bagi pencapaian sepanjang hayat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Diraja anugerah tersebut berkenaan mencemar duli ke anugerah berkenaan.

Anugerah tersebut disokong oleh akhbar Utusan Malaysia bersama Yayasan Utusan dan Utusan Studios, manakala McMillan Woods Global dilantik sebagai firma audit dan diuruskan oleh MyEvents International.

Azha berkata, tempoh pembuatan kesemua 37 trofi anugerah itu mengambil masa lebih sebulan.

“Lebih 10 pilihan rekaan diketengahkan dan panel setuju menggunakan logo lama syarikat. Malah, setiap trofi dihasilkan dengan cukup teliti bagi memberikan yang terbaik kepada semua pemenang,” ujarnya.