Demi menjaga prinsip keadilan sejagat, tribunal telah memaklumkan semua pihak ber­kenaan di Myanmar mengenai prosiding jenayah ini, termasuklah Komander Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, Naib Presiden, Myint Swe, Ketua Ketenteraan, Myat Tun Oo dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Myanmar, Win Mra. Undangan untuk hadir juga dihantar kepada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah dan beberapa individu tertentu.

Sepanjang prosiding berjalan, Myanmar tidak menghantar wakil. Undang-undang jenayah antarabangsa membenarkan prosiding berjalan in absentia (tanpa kehadiran pihak tertuduh atau wakil/ peguamnya). Selaras dengan undang-undang penubuhan tribunal ini, satu ucapan Suu Kyi pada 19 September 2017 kepada ahli diplomatik di Myanmar didedahkan. Ucapan itu diambil kira sebagai pembelaan tertuduh.

Saksi pertama dalam prosi­ding itu memberi keterangan tentang kezaliman yang dialami oleh penduduk wilayah Kachin sejak 2011. Berikutnya, keterangan dari Pertubuhan Kebangsaan Kachin dan Persatuan Wanita Kachin Thailand. Keterangan juga diberi oleh beberapa saksi pakar mengenai serangan tentera Myanmar di wilayah itu. Keterangan saksi-saksi ini menyokong maklumat dalam laporan bertulis oleh pelbagai pertubuhan hak asasi manusia yang dikemukakan kepada panel hakim oleh pasukan pendakwaan.

Antara jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan tentera Myanmar terhadap penduduk di wilayah ini ter­masuklah tahanan arbitrari dan penyeksaan, mangsa dihilangkan selepas ditahan, rogol dan pelbagai jenayah seksual, pembunuhan dan menyebabkan kecede­raan fizikal, rampasan harta dan pemusnahan bangunan, serta dihalau dari perkampungan asal ke tempat lain dan ke negara asing.

Pelarian Rohingya yang dipanggil sebagai saksi memberi keterangan mengenai pengusiran secara kekerasan oleh tentera Myanmar, kerap kali de­ngan sokongan pemimpin agama Buddha di Rakhine. Berasaskan keterangan ini, tribunal berpuas hati bahawa tertuduh telah me­lakukan jenayah perang terhadap orang Kachin di Utara Myanmar. Mengenai jenayah kemanusiaan, tribunal berpuas hati melampaui keraguan munasabah bahawa jenayah ini dilakukan ke atas ma­syarakat Rohingya dan orang awam Muslim lain di Myanmar berasaskan bukti kukuh mengenai pembunuhan, pemusnahan etnik, pengusiran, pemindahan paksa, pemenjaraan dan penahanan yang salah, penyeksaan, rogol, perhambaan seksual, pelacuran paksa, dan aparteid.

Mengenai jenayah genosid, berpandukan Konvensyen Ge­nosid, tribunal membuat satu consensus ruling bahawa kerajaan Myanmar memang ada niat melakukan genosid terhadap masyarakat Kachin dan kumpulan Muslim lain. Tribunal juga memutuskan Myanmar bersalah melakukan genosid terhadap masyarakat Rohingya.

Setelah mensabitkan kesalahan tertuduh dalam prosiding je­nayah ini, tribunal membuat 17 perakuan, antaranya gencatan senjata dan de-militarization di kawasan konflik sekarang dan pemberian akses kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB ke kawasan konflik untuk menyiasat dan mendokumentasi keadaan sebenar yang dialami oleh Rohingya dan masyarakat Muslim lain di Kachin.

Tribunal juga menggesa agar Myanmar memansuhkan atau meminda Perlembagaan 2008 dan Undang-Undang Kewarganegara­an 1982 dan undang-undang lain yang bersifat diskriminasi terhadap Rohingya dan etnik lain. Kepada masyarakat antarabangsa, tribunal menggesa agar embargo senjata dikenakan segera terhadap Myanmar, dan selain itu tekanan hendaklah dikenakan kepada pegawai kerajaan Myanmar dan sesiapa sahaja yang me­lakukan jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan genosid ini dengan membekukan akaun bank dan melarang mereka keluar negara. Akhir sekali, tribunal mencadangkan agar satu Suruhanjaya Antarabangsa Bukan Kerajaan ditubuhkan bagi menjalankan penyiasatan rapi, agar dapat diketahui kenapa jenayah ini boleh berterusan dan siapakah yang sepatutnya dihukum?

Dari sudut undang-undang, keputusan suatu badan kehakiman seperti Tribunal Rakyat Myanmar ini tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mana-mana pihak, walaupun mereka telah didapati bersalah. Ini kerana Tribunal seperti ini tidak punyai kuasa kepolisan, ketenteraan serta pemenjaraan seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Bagaimanapun , Myanmar ada menyertai Konvensyen Geneva dan Konvensyen Genosid. Berasaskan hakikat ini, pada Januari 2007, satu resolusi dibentangkan di Majlis Keselamatan PBB untuk mengheret Myanmar ke pengadilan, tetapi usaha ini tergendala disebabkan resolusi itu diveto oleh Rusia, China dan Afrika Selatan dengan alasan isu Rohingya dan penindasan etnik di negara itu adalah isu dalaman sebuah negara berdaulat. Bagi ASEAN pula, ia tidak boleh bertindak selagi belum mendapatkan konsensus semua ahlinya mengenai tindakan yang hendak dijalankan terhadap Myanmar itu.

Selepas ini, terserahlah kepada masyarakat antarabangsa untuk menyusun gerak kerja selanjutnya. Berbekalkan keputusan tribunal terbaru ini, andainya kita mencuba sekali lagi meminta Maj­lis Keselamatan PBB menubuhkan Tribunal Jenayah Khas Antarabangsa untuk Myanmar (ICTM) seperti pernah dilakukan dahulu dengan penubuhan International Criminal Tribunal for Yugoslavia (ICTY), International Criminal Tribunal for Rwanda (ICTR), apakah kita akan berjaya kali ini?

 

DATUK SALLEH BUANG ialah Ahli Pemegang Amanah Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW).