NOH OMAR

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, keadaan akan menjadi sebaliknya pula apabila orang ramai datang ke bandar kerana kebanyakan penduduk telah berhijrah dan tinggal di bandar.

Katanya, langkah kerajaan melancarkan tiga dokumen utama di bawah Rancangan Pemajuan Nasional (RPN) iaitu Rancangan Fizikal Negara Ketiga (RFN Ke-3), Dasar Perbandaran Negara Kedua (DPN2) dan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara (DPF Desa Negara) adalah langkah paling tepat dalam mencorakkan pembangunan negara.

“Inilah pentingnya perancangan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga semalam telah menyebut bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang merancang pembangunan lebih awal ke hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri melancarkan tiga dokumen berkenaan yang merupakan polisi perancangan fizikal bagi menentukan hala tuju negara ke arah lebih dinamik, seimbang dan berdaya saing dalam menangani cabaran pemba­ngunan masa hadapan.

Dokumen-dokumen yang di­hasilkan oleh PLANMalaysia itu mengambil kira kadar urbanisasi di negara ini yang dijangka mencecah 77 peratus pada 2020 dan 85 peratus pada 2040 serta penduduk di kawasan desa yang dijangka menurun kepada 23 peratus pada 2020 dan 15 peratus menjelang 2040.

Sementara itu, Noh berkata, dalam pada masa sama, DPF Desa Negara juga telah dirancang agar kerajaan dan kementerian dapat memberi fokus kepada pembangunan kawasan desa.

“Setakat ini, terdapat 15,000 buah kampung di Semenanjung dan kesemua dokumen yang dilancarkan ini adalah satu rancangan strategik dalam pengagihan sumber, perancangan kemudahan asas dan awam dalam negara kita,” ujarnya.