Itu kali pertama dia kemalangan akibat terjatuh dek kerana terlanggar jalan berlubang. Jika tidak bernasib baik ketika itu, tentu sahaja dia sudah dilanggar lori yang lalu lalang.

Namun, nasib menyebelahinya kerana tiada kenderaan melalui jalan itu ketika dia terjatuh, manakala motosikalnya pula rosak teruk.

“Saya bersyukur kerana tidak cedera teruk. Hanya luka kecil di bahagian kaki. Namun, jalan raya berlubang membuatkan hati saya geram dan trauma,” katanya.

Beliau yang bertugas sebagai jurutera, berkata, bagi penunggang motosikal sepertinya, jalan berlubang dan berlopak berbahaya kepada mereka.

“Kadang kala penunggang tidak nampak jalan berlubang kerana beberapa faktor seperti waktu malam. Jalan raya di negara ini sudah elok dan tersusun, namun aspek penjagaan masih tidak mencukupi.

“Jalan raya berlubang bukan isu baharu, malah terus berlaku. Jika diturap, kualitinya agak rendah dan boleh mengakibatkan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal mengalami kemalangan,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal bukan sewenang-wenang boleh mengelak jalan raya berlubang kerana faktor keselamatan dan kenderaan yang berada di belakang juga perlu diambil kira.

Izuddin berkata, jalan raya beralun turut menyebabkan pengguna kemalangan terutama yang menaiki motosikal.

Dakwanya, kualiti jalan raya yang rendah berpunca daripada kontraktor yang mahu keuntungan segera sehingga menidakkan spesifikasi pembinaan jalan yang betul.

“Itu antara punca mengapa jalan raya di negara ini, ada yang tidak berkualiti dan sering rosak. Yang menjadi mangsa adalah pengguna sendiri,” katanya.

Dia yang pernah mengalami kemalangan akibat terlanggar lubang pada waktu malam berkata, pihak bertanggungjawab seharusnya memandang serius pelbagai aspek berkaitan kualiti jalan raya demi kepentingan masyarakat.