Presidennya, Suhairi Abdullah berkata, kenyataan Fuziah itu dianggap amat tidak wajar ketika golongan OKU di negara ini masih menghadapi masalah kemudahan tandas mereka yang sering digunakan segelintir masyarakat lain.

“Ketika kemudahan tandas OKU yang masih belum mencapai matlamat dan objektif kerana sering disalahgunakan segelintir masyarakat, kini muncul pula golongan lain yang mahu berkongsi kemudahan tersebut sekali gus menambah masalah baru kepada golongan OKU.

“Kenapa pula hak OKU pula menjadi sasaran dan menjadi mangsa kepada keadaan dan polemik ini. Saya yakin golongan transgender pasti akan mengambil kesempatan secukup­nya sekiranya saranan tersebut dapat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fuziah ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini berkata, golongan transgender mungkin buat masa ini boleh menggunakan tandas OKU di tempat awam sementara golo­ngan itu diterima oleh masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas Persatuan OKU Sentral, Ras Adiba Radzi berkata, kenya­taan Fuziah itu merupakan satu saranan paling tidak masuk akal.

“Jika golongan itu bimbangkan keselamatan mereka di tandas lelaki, mereka berupaya menjaga diri mereka sendiri. Kami hormat orang lain tetapi bagi kami, ini sahaja yang kami ada malah kami tidak boleh berjalan malah juga tidak boleh melihat tetapi mereka sempurna dari segi luaran, silakan guna tandas yang lain.

“Ini saranan yang tidak masuk akal, kalau perlu sila buat tandas khas untuk golongan tersebut. Tolong fokus sedikit dan hormat kemudahan untuk OKU, tandas kami tak banyak malah kadang kala mereka yang bukan OKU pun ambil kesempatan, tolonglah, banyak perkara lain yang boleh kita tolak ansur tetapi dalam hal ini memang tidak boleh,” tegasnya.