Menteri Kemajuan Luar Ban­dar dan Wilayah, Datuk Seri Is­mail Sabri Yaakob berkata, mela­lui transformasi berkenaan, pi­­hak­nya akan merombak semula mo­dul mata pelajaran yang diajar di tabika Kemas pada masa ini dengan antaranya memberi fokus kepada usaha meningkatkan ke­yakinan diri kanak-kanak.

Selain itu beliau membe­ri­tahu, pihaknya juga akan menam­bah mata pelajaran baharu yang sesuai khususnya berkaitan pat­rio­tisme, keagamaan dan juga Bahasa Inggeris bagi melahirkan masyarakat yang cemerlang.

“Kita mahu menjadikan tabika Kemas sebagai pilihan utama masyarakat dan mengubah persepsi lama yang mengaitkan Tabika Kemas dengan kualiti dan sebagainya.

“Jadi kita akan mengadakan rombakan mata pelajaran dengan salah satunya memberi fokus kepada peningkatan keyakinan diri supaya dapat melahirkan pelajar atau pun anak-anak yang mempunyai keyakinan diri,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Hari Potensi Tabika Kemas Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pe­ngarah Kemas, Amiruddin Ariffin; Pengarah Kemas negeri, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Rad­zi dan Ahli Dewan Undangan Negeri Guai, Datuk Norol Azali Sulaiman.

Menurut Ismail Sabri, rombakan yang akan dilakukan terhadap modul mata pelajaran ber­kenaan tidak akan melibatkan perubahan ke atas mata pelajaran yang ada tetapi lebih kepada penambahbaikan dan penambahan subjek yang relevan.

Katanya, pihaknya juga akan memastikan semua tabika Kemas mempunyai bangunan sendiri dan tidak menumpang di premis lain dalam usaha memperkasakan lagi peranan tabika Kemas.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan guru-guru tabika Kemas sentiasa bersedia dan berpengetahuan pihaknya juga akan terus memberi latihan kepada guru-guru terbabit secara berterusan di enam pusat latihan Kemas.

“Pada masa ini kira-kira 6,000 daripada kira-kira 11,000 guru tabika mempunyai diploma dan kalau boleh kita mahu semua pemaju masyarakat ini mempunyai diploma pada masa akan datang,” ujarnya.