Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, pelan berkenaan bertujuan memperkasakan dan memberi nafas baharu kepada Rukun Tetangga dari segi imej, fungsi, peranan serta pelaksanaannya dalam komuniti.

Menurutnya, transformasi itu mel­i­batkan elemen pemerkasaan dan penjenamaan Rukun Tetangga dengan tema ‘Daripada Komuniti Kepada Komuniti’.

“Pemerkasaan pelan ini diharap dapat merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi negara maju dari semua aspek pertumbuhan yang bermatlamatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Kita juga telah menghasilkan Pelan Strategik JPNIN 2017-2027 yang bertujuan menetapkan hala tuju kepada warga kerja jabatan itu bagi menyusun perancangan dan strategi efektif untuk menangani isu perpaduan dan integrasi nasional dengan menggunakan pendekatan bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sayangi Komuniti Peringkat Negeri Kedah yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk Tajul Urus Mat Zain di Flat Paya Nahu, di sini hari ini.

Kata Joseph, perpaduan nasional menjadi nadi penggerak utama dalam membina sebuah negara bangsa yang sejahtera, aman dan harmoni.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya yakin pelaksanaan program Sayangi Komuniti mampu memberi impak positif dari segi pengurangan isu dan masalah yang berlaku selain memenuhi keperluan pembangunan serta kualiti kesejahteraan komuniti.

“Projek rintis program Sayangi Komuniti telah bermula dari 2011 dan 2012 dengan mengenal pasti beberapa kawasan berisiko tinggi terutama di tempat yang kerap berlaku gejala sosial seperti pecah rumah dan gengstrisme.

“Sebanyak 200 daripada 456 Kawasan Rukun Tetangga di seluruh negara yang terdiri daripada kumpulan masyarakat berpendapatan rendah (B40) telah dikenal pasti pada 2015 untuk melaksanakan program Sayangi Komuniti secara berperingkat bermula 2016 hingga 2020,” ujarnya.

Sementara itu, Tajul Urus pula berkata, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi membaiki pelbagai kemudahan di kawasan perumahan Flat Paya Nahu di sini mulai tahun depan.

“Kita berharap penduduk di kawasan ini berupaya terus hidup dalam keadaan aman damai dan mana-mana penghuninya tidak lagi terjebak dengan masalah sosial seperti dadah yang mana hanya boleh merugikan diri sendiri,” katanya.