Perdana Menteri berkata, per­ubahan Felda bukan hanya perlu di­lihat dari sisi fizikal namun mestilah turut melibatkan perubahan dalam aspek pemikiran yang berilmu.

“Generasi muda Felda tidak boleh terikat dengan kepompong mentaliti ‘kampung’ dalam minda masing-masing sebaliknya mereka perlu mempunyai minda yang telah melalui transformasi yang besar.

“Cuba bayangkan dalam generasi kedua ini dan seterusnya, semua mempunyai semangat ‘kepene­rokaan’, ada jati diri, tidak mudah mengaku kalah dan berdepan de­ngan apa juga cabaran. Maka kita akan mendapat satu formula yang mendorong ke arah kejayaan lebih besar,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis sambutan Aidilfitri Salam Perantauan Warga Felda 2017 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz; Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Pengarah Seranta Felda, Datuk Moha­mad Khairudin Mohamad.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan buku Akar Kami - Kisah Inspirasi Tokoh Profesional Generasi Felda iaitu sebuah buku yang menghimpunkan kisah kejayaan anak-anak Felda bermula daripada generasi pertama sehingga kini.

Najib berkata, Felda telah lama mengamalkan prinsip transformasi, bagaimanapun perbezaannya ialah dahulu isu lebih tertumpu kepada cara memecah kebuntuan tekanan kemiskinan melalui transformasi tanah.

Beliau berkata, bertitik tolak dari situ, maka wujud sebanyak 317 buah tanah rancangan dan yang menariknya konsep tersebut membawa kesan positif sehingga berlakunya mobiliti sosial dalam kalangan warga Felda.

“Kita hendak Felda menjadi kuasa ekonomi untuk melin­dungi kepentingan mereka. Saya mahu setiap anak peneroka Felda menjadi kuasa ekonomi dan berharap usaha ini akan menyumbang kepada generasi baharu,” katanya.

Dalam usaha terus melihat Felda menuju kejayaan, Najib yang juga Menteri Kewangan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM200,000 kepada Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof) untuk membina kajian psycho profilling.

Mengulas mengenai psycho profilling, Ketua Kluster Kajian Penyelidikan Gaprof, Profesor Dr. Ibrahim Ashaari berkata, ia bertujuan mengenal pasti kehendak setiap ahli keluarga peneroka Felda selain membantu mereka melalui proses pembandaran.

“Peringkat pertama kajian akan mengambil masa selama enam bulan untuk melihat hasilnya. Selepas mendapat hasil kita akan membentangkan kepada kerajaan untuk melihat proses perubahan warga Felda,” katanya.