Husni Salleh
Husni Salleh

Mandat tersebut antara lain, memastikan pengukuhan penyertaan bumiputera di dalam ekonomi Malaysia dan BETR dilancarkan pada November 2011, yang dilaksanakan bagi tempoh lima tahun untuk fasa pertamanya.

Ternyata, semua langkah-langkah yang dilaksanakan mencatat banyak kejayaan seperti kejayaan mencipta nilai sebanyak RM108 bilion bagi bumiputera terutama menerusi program carve out and compete, yang mana usahawan bumiputera yang cekap akan meraih kontrak menerusi proses pembidaan kompetitif.

Sejumlah 3,033 syarikat dan lebih daripada 53,00 individu telah mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada program Teraju.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh berkata, Teraju secara spesifik memastikan wujudnya mekanisme penyampaian yang berkesan bagi mengelakkan ketirisan dalam pelaksanaan agenda transformasi ekonomi bumiputera.

Dan kini, menerusi BETR 2.0, pemerkasaan bumiputera telah dipertingkatkan ke satu tahap baharu, yang lebih holistik, inklusif dan komprehensif.

Perdana Menteri pada bulan lalu, mengisytiharkan fasa kedua BETR ini dengan inisiatif baharu dikenali sebagai Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB).

“Secara dasarnya, TKB memberi penekanan kepada budaya dan nilai-nilai. Dengan penerapan budaya yang betul, tentunya kita dapat melahirkan bumiputera yang memiliki pemikiran kelas pertama dunia.

“Inilah apa yang bumiputera perlukan, iaitu mentransformasikan bumiputera bukan sahaja daripada segi ekonomi, tetapi juga kesejahteraan dan kebahagiaan mereka juga terjamin,” kata Husni.

Menjelang 2030, struktur demografik negara bakal mengalami perubahan besar iaitu diunjurkan bahawa 70.7 peratus jumlah keseluruhan penduduk akan terdiri daripada bumiputera.

“Oleh itu, agenda bumiputera hendaklah dianggap sebagai agenda nasional dan faktor penting bagi Malaysia untuk bukan sahaja mencapai Wawasan 2020, tetapi paling penting, meraih ekonomi bernilai RM2 trilion dalam tempoh tujuh atau lapan tahun lagi,” ujarnya.

Oleh itu kata Husni, menerusi BETR 2.0, Teraju mahu mengembangkan konsep-konsep daripada BETR 1.0 yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada membantu meningkatkan ekonomi syarikat tetapi juga kepada lima teras yang diberikan tumpuan iaitu pendidikan dan modal insan, pekerjaan dan pendapatan, ekuiti korporat, keusahawanan serta aset bukan kewangan.

Tahun ini, BETR memasuki fasa baharu dengan pengenalan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) dan BETR 2.0. TKB mewakili agenda pemerkasaan bumiputera yang bersifat inklusif dan holistik yang tidak terhad kepada satu bidang seperti pemerkasaan ekonomi. Sebaliknya, ia mengambil kira semua aspek kesejahteraan bumiputera seperti pendidikan, kesihatan, serta sosial dan kebudayaan, di dalam persekitaran yang selesa dan dinamik.

“TKB merupakan pelan menyeluruh BETR 2.0 dan membentuk asas kepada dasar-dasar, pelan induk dan pelan tindakan setiap inisiatif Kerajaan mengenai pemerkasaan ekonomi bumiputera,’’ kata Husni.

Menurutnya, ia juga seiring dengan gerakan global terhadap aspek kesejahteraan dan kebahagiaan penduduk dunia, sebagaimana diadvokasikan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). SDG merupakan seruan sejagat untuk bertindak membanteras kemiskinan, melindungi hutan dan memastikan keamanan dan kemakmuran untuk semua.

MeLONJAKKAN SKALA Bumiputera

Bidang ini tertumpu kepada usaha memastikan setiap syarikat bumiputera mempunyai akses kepada laluan lancar daripada fasa permulaan perniagaan hingga fasa matang, ke arah membangunkan syarikat multinasional (MNC) Bumiputera. Ini dijelaskan lagi menerusi prinsip dasar BETR 2.0 dengan mengguna pakai dan meluaskan program sedia ada seperti TERAS bagi membimbing juara korporat ke skala antarabangsa.

Memperkasa Modal Insan bumiputera

Sebagai segmen penduduk terbesar, bakat bumiputera seharusnya berperanan sebagai penyumbang utama ekonomi dan pembangunan negara. Ini meliputi bidang akademik dan juga agama, sains dan teknologi, kebudayaan dan sukan, kerana TKB tidak sahaja memfokus kepada pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga pembinaan identiti fizikal dan kerohanian.

Oleh itu, TKB adalah dasar yang mencerminkan suatu masyarakat yang kaya di dalam kebudayaan, kemahiran berfikiran tinggi, mengamalkan budaya berprestasi tinggi dan cekal serta bersungguh-sungguh bila berdepan dengan cabaran dan perubahan pesat.

Meningkatkan Daya 
Saing Bumiputera

Untuk menjayakan transformasi syarikat ke tahap MNC, fokus hendaklah kekal kepada aspek meningkatkan daya saing syarikat. Sementara ada syarikat Bumiputera telah mencatat kejayaan di dalam dan luar negara atas kualiti penyampaian mereka, program-program seperti Carve-Out and Compete, Dana Mudahcara dan SUPERB telah direka bagi membolehkan syarikat yang mahu menjadi peneraju global dengan mempromosikan keupayaan mereka untuk memacu daya saing.

Mendaya 
Mobiliti Sosial bumiputera

Kerajaan mahu bumiputera menikmati kualiti kehidupan lebih tinggi dengan meningkatkan kedudukan sosial mereka menerusi aspek-aspek merangkumi pendidikan, kemahiran dan pendapatan. Ini memastikan tahap mobiliti sosial di Malaysia, yang kini menyamai negara maju seperti Kanada dan mengatasi Sweden dan Jerman, dapat dikekalkan atau ditambah baik. Dalam konteks ini, usaha Kerajaan untuk melaksanaan Ekonomi Digital adalah sangat penting.

Inisiatif Ekonomi Digital seperti pelancaran Zon Dagangan Bebas Digital pada Mac 2017 akan memberikan peluang saksama kepada Bumiputera untuk bebas menembusi pasaran lebih luas. DFTZ menumpukan kepada perluasan pasaran untuk PKS dan usahawan muda dengan menggunakan platform dalam talian dan digital, memberikan laluan kepada penjanaan pendapatan, mempromosi inovasi dan membuka kaedah alternatif untuk meningkatkan kedudukan sosial Bumiputera.

Pendekatan TKB bagi transformasi Bumiputera terkandung

dalam lima

bidang:

Memastikan transformasi Bumiputera menyeluruh dan holistik

Bagi menyokong pemilikian 30% ekuiti yang disasarkan menerusi DEB, pencapaian ekonomi Bumiputera juga disukat dari segi perolehan korporat dan pendapatan isirumah, bilangan profesional berdaftar, serta penyertaan di peringkat pengurusan dan kerja berkemahiran tinggi. Bidang transformasi ini menajdi teras TKB dengan Kerajaan mahu meluaskan lagi definisi kejayaan bumiputera bagi memastikan prestasi masyarakat dicatat di semua peringkat.

SUMBER : 
Unit Peneraju Agenda Bumiputera 
Mei 2017