KUALA LUMPUR 30 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan buku Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) versi buku elektronik (e-Book) bermula Mac tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Shaharuddin Khalid berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan sistematik kepada masyarakat selaras perkembangan teknologi hari ini.
Beliau berkata, versi e-Book itu juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan stok buku KPP di sesetengah institut memandu akibat pertambahan jumlah calon secara mendadak pada masa tertentu.
Katanya, jpj sentiasa komited untuk memastikan setiap institut memandu memperoleh buku berkenaan dalam jumlah yang sepatutnya.
“Kita mempunyai perjanjian dengan pembekal yang mana buku KPP ini dikeluarkan dengan jumlah 15,000 naskhah untuk sebulan. Angka berkenaan diteliti dan ia memang cukup untuk menampung jumlah calon di seluruh negara.
“Isu ketiadaan stok ini timbul apabila terdapat beberapa institut memandu di sesetengah kawasan yang melakukan promosi terutama ketika musim cuti sekolah yang menyebabkan peningkatan jumlah calon secara mendadak,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan program MyLesen Kadet JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, dekat sini hari ini.
Dalam program itu, seramai 56 kadet JPJ yang terdiri daripada pelajar 10 sekolah menengah di sekitar ibu negara berjaya memperoleh lesen memandu B2 pada bayaran serendah RM199 sahaja.
Ia juga merupakan sebahagian misi agensi penguatkuasaan itu yang diatur selaras dengan Warkah Tadbir Urus JPJ ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Rusni Ab. Jalil.
Mengulas lanjut Shaharuddin berkata, buku KPP secara cetakan naskhah masih diteruskan selepas pelaksanaan e-Book kerana mengambil kira kepelbagaian latar belakang calon terutama dari segi umur dan kawasan tempat tinggal.
“Calon mempunyai dua pilihan untuk mendapatkan buku berkenaan. Sekiranya berminat dengan e-Book, mereka diberikan nombor pin untuk mengakses dan seandainya ingin secara cetakan, kita juga ada sediakan,” katanya.