Benar, wajah Izham tampak garang. Perwatakannya juga sering kelihatan serius dan jarang dilihat bercakap dengan orang tidak dikenali.

Namun apa yang terzahir itu bukanlah gambaran dirinya yang sebenar. Malang sekali, penilaian orang ramai terhadap beliau sering tersasar hanya kerana wajahnya yang dikatakan ‘ganas’ dan garang itu.

Di sebalik semua itu, Izham sebenarnya memiliki terlalu banyak sifat terpuji. Bagi rakan-rakannya, Izham bukanlah seorang yang sombong sebalik­nya beliau tidak suka bercakap perkara yang sia-sia.

Malah, menurut Ketua Pegawai Eksekuif (CEO) Menteri Besar Incorporated (MBI), Datuk Ahmad Shukri Tajuddin, Izham merupakan seorang rakan yang menyeronokkan dan sering mengelak daripada membuat orang lain berasa sakit hati.

“Kalau tak kenal memang orang kata beliau sombong tetapi saya tak fikir Izham mempunyai musuh. Sejak me­ngenali beliau dalam tempoh lima tahun lalu, Izham sememangnya mempunyai perwatakan yang cukup baik.

“Sebagai ahli perniagaan pula, saya melihat Izham mempunyai visi yang cukup jauh dalam membawa kemajuan kepada BDB. Bagi saya, negeri ini kehilangan seorang tokoh perniagaan yang bagus dan kami kehilangan seorang pegawai yang cukup berdedikasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Bercakap mengenai kepe­mimpinannya di BDB, tiada siapa yang mampu menafikan betapa ketegasan Izham berjaya mengubah imej dan ‘perwatakan’ syarikat milik kerajaan negeri itu menjadi lebih dihormati berbanding sebelum ini.

Jika sebelum ini BDB dilihat bergerak ‘perlahan’ atau ‘mandom’ dengan mengusahakan projek secara satu demi satu, kini semuanya berbeza dengan kumpulan itu tidak henti-henti mencari projek dan hasilnya dipulangkan kepada kerajaan negeri demi kesejahte­raan rakyat.

Projek yang dilaksanakan juga tidak terhad di negeri ini malah turut melangkaui sempadan sekali gus membayangkan betapa beliau memiliki kredibiliti dan kemampuan untuk melakukan transformasi dalam memimpin sesebuah syarikat dan organisasi.

Menariknya, di bawah kepemimpinan Izham juga, BDB lebih banyak memikirkan nasib rakyat pertengahan dan miskin yang mana terlalu banyak kerja-kerja kebajikan dilakukan.

Keprihatinannya itu juga dizahirkan dengan pengumuman bahawa syarikat tersebut memperuntukkan antara 65 hingga 75 peratus pelancaran unit segmen rumah mampu milik pada tahun ini.

Bagi warga korporat, ma­syarakat yang pernah dibantu, kerajaan negeri dan wakil-wakil media, kehilangan Izham sebenarnya amat dirasai. Pemergiannya pada usia 50 tahun dianggap terlalu awal ketika khidmat dan pemikiran kreatif beliau masih diperlukan dalam membantu kemajuan negeri.

Selamat bersemadi Datuk Izham, insya-Allah budi dan jasa datuk yang terlalu besar buat masyarakat melayakkan datuk ditempatkan dalam kalangan insan beriman.